I am ready – Najib

I am ready – Najib

Muhammad Mustakim Ramli

“Saya sudah bersedia, i am ready,” kata Datuk Seri Najib Razak menjelang penghakiman kes SRC International dihadapinya, esok.

Menerusi akaun Facebook Najib Razak, beliau menyatakan tahu apa di minda semua, apa yang ditulis, apa yang diperkatakan.

“Sejak hari pertama saya telah kata. Inilah peluang untuk membersihkan nama saya.

“Dalam kes yang akan diputuskan esok, saya dituduh salahgunakan kuasa untuk menyokong keputusan lembaga SRC meminjam RM4 bilion dari KWAP pada tahun 2011.

“Ini supaya saya boleh tunggu 4 tahun untuk menerima RM42 juta (1% dari RM4 bilion) pada akhir tahun 2014 dan seterusnya dibelanjakan sepenuhnya untuk kegiatan CSR dan politik,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata wang berkenaan dibayar kepadanya oleh sebuah syarikat swasta yang dibayar oleh sebuah lagi anak syarikat SRC untuk tujuan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Walau apapun keputusannya esok di Mahkamah Tinggi, ia tidak berakhir di sini.

“Sekiranya didapati tidak bersalah, sudah tentu pihak pendakwa raya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Sebaliknya jika keputusan di Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada saya, sudah tentu saya akan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan untuk penghakiman yang adil oleh panel tiga hakim dan bukan seorang hakim seperti keputusan esok,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa dua tahun yang berlalu bagaikan kegelapan dengan permainan politik kotor dan kekejaman PH.

“Hanya dengan sinar daripada sokongan rakyat selama ini yang memberikan saya kekuatan untuk bangkit melawan dan mendorong saya terus ke hadapan.

“Terima kasih saudara-saudari. Saya tidak putus asa. Ya, lepas ini kita ke Mahkamah Rayuan. Saya sudah bersedia. I am ready,” katanya.