Samakan Nabi dengan pelarian, Zamihan minta Mat Sabu bertaubat

Samakan Nabi dengan pelarian, Zamihan minta Mat Sabu bertaubat

Muhammad Mustakim Ramli

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin menyifatkan bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebagai seorang yang jahil kerana menyamakan hijrah baginda Rasul dengan pelarian.

Beliau berkata, Ahli Parlimen sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum menuturkan istilah atau sesuatu fakta  berkaitan dengan ajaran Islam dan bukannya bercakap sebarangan sehingga memperbodohkan diri sendiri.

“Ini salah satu kesilapan fatal pemimpin yang jahil. Mereka gagal memahami istilah pelarian dan hijrah. 

“Ini kerana tidak ada sebarang nas yg membuktikan Baginda melarikan diri dari Makkah,” katanya kepada Malaysia Post.

Zamihan berkata, hakikatnya Nabi Muhammad SAW bukan seorang pelarian tetapi Baginda seorang penghijrah yang berhijrah bagi mentaati perintah Allah SWT.

“Bahkan penduduk Madinah sendiri mengalu-alukan kedatangan Nabi SAW apabila mereka melihat cahaya agama yang suci.

“Bukti kenabian dan kebaikan yang dibawa Nabi SAW. Justeru, perbuatan menyamakan Nabi SAW dgn pelarian merupakan satu penghinaan kepada Nabi Muhammad,” katanya.

Bertaubatlah Mat Sabu

Terdahulu Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, mengingatkan semua pihak supaya jangan melupakan sejarah ketika sentimen terhadap warga asing terutama pelarian sedang ‘panas’ ketika ini.

Beliau mendakwa Islam ditegakkan pelarian, di mana Nabi Muhammad menjadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah.

“Jangan kita lupa sejarah. Kita jangan lupa Islam itu ditegakkan para pelarian, khasnya Nabi Muhammad, yang jadi pelarian dan berhijrah dari Makkah ke Madinah,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

“Saya menasihatkan agar Mat Sabu bertaubat, menarik balik perkataannya dan memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam. 

“Jika tidak beliau tidak layak dipanggil Yang Berhormat. Yakni beliau tidak perlu dihormati atas kebodohan dirinya sendiri,” kata Zamihan lagi

Sementara itu, penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim meminta individu yang terbabit dalam politik berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Minta orang politik ni berhati-hati sikit bila bercakap.. jangan main sedap mulut je buat analogi.

“Apa ke hal disamakan Nabi SAW macam pelarian? Fahami makna pelarian, refugee dan hijrah baik2. Main sedap mulut je nak cakap?,” tulis beliau di Facebooknya.