Bersatu akan sertai Muafakat Nasional

Bersatu akan sertai Muafakat Nasional

Aiman Hanif

Bersatu yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menyertai Muafakat Nasional bagi memperkukuhkan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan Presiden Bersatu dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini.

Menurut pemimpin Umno yang enggan namanya didedahkan berkata Muhyiddin turut menyatakan komitmen memperkukuhkan kerjasama dengan Umno/BN.

“Dalam pertemuan hari ini Muhyiddin memaklumkan yang Bersatu akan menyertai Muafakat Nasional.

“Penyertaan ini bertujuan memperkukuh muafakat ataupun kerjasama bagi memudahkan urusan bagi menghadapi PRU15,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post, hari ini.

Terdahulu berlangsung pertemuan antara Ahli Parlimen BN yang diketuai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen hari ini.

Pertemuan itu dipengerusikan Muhyiddin dikatakan membicangkan banyak perkara termasuk keputusan mahkamah membabitkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui media di Parlimen enggan mendedahkan hasil perbincangan bagi pertemuan itu.

Sementara itu, pemimpin Umno berkenaan memberitahu Perikatan Nasional (PN) tetap tidak dibubarkan meskipun Bersatu menyertai Muafakat Nasional.

“Sama ada PN akan didaftarkan ataupun tidak itu saya tidak tahu,” katanya lagi.