Krisis Sabah: Shafie dijangka umum bubar DUN jam 10 pagi nanti

Krisis Sabah: Shafie dijangka umum bubar DUN jam 10 pagi nanti

Aiman Hanif

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) jam 10 nanti bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Menurut sumber Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Shafie dikatakan telah mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk berbuat demikian

“Shafie akan mengumumkan pembubaran DUN esok pagi bagi menyelesaikan kemelut politik Sabah apabila kesemua bekas wakil rakyat Umno kini menyokong Tan Sri Musa Aman.

“Beliau telah berjumpa Yang di-Pertua Negeri Sabah malam ini (tadi) untuk memohon perkenan bagi membubarkan DUN.

“Ia sekali gus akan membawa kepada pilihan raya negeri Sabah,” katanya kepada Malaysia Post.

Terdahulu petang semalam, Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, mendakwa memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu setelah mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari pelbagai parti.

Difahamkan, gabungan baharu berkenaan membabitkan Umno, Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Musa berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, pagi tadi.

“Mereka membuat kunjungan hormat itu bagi memaklumkan bahawa gabungan baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah memperoleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam sidang media tergempar di Kota Kinabalu.

Musa akan jumpa TYT

Dalam pada itu, sumber Umno pula memaklumkan Musa kini telah mendapat 35 sokongan Adun bagi membentuk kerajaan Sabah yang baru.

Katanya, jika benar Mohd Shafie akan mengumumkan pembubaran Dun, ia adalah tidak sah kerana mereka telah mendapat majoriti.

“Musa dijangka akan bertemu TYT esok untuk memohon perkenan bagi menubuhkan kerajaan Sabah yang baru.

“TYT ingin bertemu 35 Adun yang menyatakan sokongan kepada Musa bersama akuan bersumpah (SD).

“Jika Mohd Shafie ingin membubarkan DUN ia tidak sah kerana kami mempunyai majoriti,” katanya lagi.

Difahamkan kesemua 35 Adun yang menyokong Musa berada di kediaman bekas pengerusi Umno Sabah itu sejak malam tadi.