Perangi Covid-19 tanggungjawab semua

Perangi Covid-19 tanggungjawab semua

Fitri Nizam

USAHA memerangi pandemik Covid-19 bukanlah tanggungjawab pihak pemerintah dan pihak berkuasa semata-mata.

Sebaliknya, seluruh rakyat perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak penyakit ini.

Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Nikmat yang seriang diabaikan’ hari ini, menyeru seluruh rakyat memainkan peranan sebagai petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab memastikan wabak Covid-19 dihentikan.

“Islam sendiri juga sangat menitikberatkan soal kesihatan dan pencegahan penyakit lebih-lebih lagi penyakit yang mengancam nyawa.

“Rasulullah SAW pernah mengingatkan tentang beberapa peluang besar yang dikurniakan kepada kita yang tidak patut dipersiakan,” katanya.

Sabda Rasulullah SAW: “Ambillah kesempatan lima (keadaan) sebelum datang lima (keadaan), (iaitu) masa mudamu sebelum (datang masa) tuamu, kesihatanmu sebelum (datang) sakitmu, kecukupanmu sebelum (datang) fakirmu, kelapanganmu sebelum (datang masa) sibukmu, kehidupanmu sebelum (datang) kematianmu.” (HR: al-Hakim)

Justeru, Jakim menyeru orang ramai supaya terus mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jakim turut menyeru supaya orang ramai meningkatkan disiplin dan kawalan kendiri bagi memastikan diri, ahli keluarga, jiran, masyarakat sekeliling terhindar dari wabak penyakit yang berbahaya ini.

“Jangan kita leka dan lalai kerana perjuangan belum selesai. Tingkatkanlah keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT kerana ia juga merupakan salah satu cara bagi memohon Allah SWT mengangkat segala ujian dan musibah yang melanda kita pada hari ini.

“Bersyukurlah dengan nikmat kesihatan yang telah diberikan oleh Allah SWT dengan memanfaatkannya kepada perkara yang baik dan melakukan ketaatan kepadaNya.

“Sesungguhnya, amatlah sedikit orang-orang yang mensyukuri nikmat Allah SWT,” katanya. -Malaysiapost