Warganet puji helmet pengimbas suhu PB KTMB seperti Robocop

Warganet puji helmet pengimbas suhu PB KTMB seperti Robocop

Nurul Huda Abhar

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini memperkenalkan helmet pengimbas suhu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penumpang.

Beberapa keping foto yang dimuat naik di laman Facebook rasmi KTMB menjadi tular kerana warganet mengagumi kecanggihan alat tersebut yang menyerupai watak filem Hollywood iaitu Robocop.

Menurut KTMB, ia adalah tambahan kepada kaedah sedia ada seperti pengimbas suhu di stesen, “hand sanitizer” dan sanitasi tren.

“Dengan penggunaan helmet ini, anggota Polis Bantuan (PB) yang membuat rondaan akan dapat mengesan penumpang bergejala melalui alat teknologi canggih itu.

“Diharap dengan kaedah-kaedah yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan para penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB.

“Penggunaan helmet ini masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesan dan kesesuaian kepada anggota PB,” tulisnya.

Menerusi semakan Malaysiapost di ruangan komen, menyifatkan PB yang bertugas kelihatan seperti watak Robocop, filem fiksyen yang mula disiarkan pada 1987.

“Perghh..dah macam RoboCop pun Ada ni Min..hebat.KTMB..tahniah,” kata YonPK Tensen.

“Wah…..dah jadi macam Robocop,” tulis Jenny Lim.

Rata-rata warganet mengucapkan tahniah kepada KTMB kerana berusaha sehabis mungkin untuk menyediakan yang terbaik bagi menjaga keselamatan penumpang dalam melawan wabak Covid-19. – Malaysiapost