SOP jual beli di Jepun ‘unik’, elak kekeliruan

SOP jual beli di Jepun ‘unik’, elak kekeliruan

Nurul Huda Abhar

JIKA anda berpengalaman melawati negara matahari terbit, Jepun, pasti anda akan menyaksikan amalan di mana semua juruwang di sana akan menyebut dengan jelas proses pembayaran dan pemulangan baki kepada pelanggan.

Menerusi satu perkongsian pemilik akaun Facebook Kamal Zharif Kamaludin di halaman ‘Road To Japan’, beliau menerangkan serba sedikit prosedur jual beli yang diamalkan masyarakat di Jepun.

“Kalau pergi Jepun, bab ini seronok sebab jarang berlaku pada diri kita. Apabila nak bayar di kaunter juruwang supermarket, juruwang akan buat perkara di luar kebiasaan kita tetapi itu salah satu prosedur operasi standard (SOP) mereka:

“Saya menerima duit 5,000 yen.”

“Kemudian, dia memberikan duit baki kepada pelanggan dan menunjukkan baki duit kertas 1,000 yen sebanyak tiga helai. Setelah itu barulah serahkan baki duit syiling 920 yen.

“Saya memulangkan duit sebanyak 3,920 yen. Mohon pengesahan.” tulisnya bagi menggambarkan situasi jual beli di sana.

Menurut Kamal Zharif, langkah berkenaan dilakukan oleh semua pengusaha perniagaan di negara itu untuk mengelakkan berlaku sebarang kekeliruan sepanjang urus niaga dijalankan.

Katanya, antara kesilapan yang ingin mereka elakkan termasuklah kesalahan mengira, kesilapan juruwang, pelanggan tidak boleh sesuka hati menyalahkan pasaraya, dan kerugian wang termasuklah masa disebabkan salah faham.

“Orang Jepun memang dari dulu lagi dalam kepala mereka akan fikir soal keselamatan dulu. Orang Malaysia akan memikirkan ‘quality of life’ dan kemudiannya baru fikir benda lain.

“Bangsa Jepun merupakan bangsa yang sangat pentingkan mengikut prosedur. Ada masanya prosedur yang nampak biasa-biasa juga akan membuatkan orang lain terikut-ikut.

“Jadi, kalian yang berada di Jepun usah terlalu risau apabila serahkan duit untuk bayar,” ujarnya lagi,

Menerusi semakan Malaysiapost, Kamal Zharif adalah rakyat Malaysia yang menetap di Jepun dan gemar berkongsi info menarik tentang kebudayaan rakyat dan aktiviti hariannya di sana.

Sebagai tambahan, beliau adalah seorang penulis, selebriti youtube (youtuber) dan juga terlibat dalam agensi pelancongan di Jepun. -Malaysiapost