Keputusan dedah nama 121 Ahli Parlimen di tangan saya, bukan menteri KDN – Anwar

Keputusan dedah nama 121 Ahli Parlimen di tangan saya, bukan menteri KDN – Anwar

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebarang keputusan untuk mendedahkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong beliau adalah terletak ditangannya.

Katanya, beliau akan mempersembahkan 121 nama berkenaan berserta surat pengesahan daripada setiap presiden parti kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada masa yang sesuai.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memaklumkan beliau memberikan kerjasama penuh kepada polis yang memanggilnya untuk membantu siasatan.

“Sebanyak enam laporan polis dibuat ke atas saya berhubung dakwaan saya yang menyatakan memperoleh 121 sokongan Ahli Parlimen daripada Umno, Armada Bersatu dan orang perseorangan sebelum ini.

“Memang saya memberikan kerjasama penuh namun saya sudah nyatakan kepada pihak polis bahawa saya selaku presiden sudah menerima surat pengesahan daripada presiden parti lain yang menyokong saya,” katanya, hari ini.

Anwar berkata demikiam selepas selesai memberikan proses rakaman percakapan kepada polis di Bukit Aman.

Beliau berkata bukan kuasa polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri untuk memaksa dirinya mendedahkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan.

“Saya tegaskan ini adalah terserah kepada diri saya selaku presiden parti dan keputusan saya adalah untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan keputusan polis, ahli politik atau Menteri Dalam Negeri,” katanya. -Malaysiapost