Muhyiddin minta Umno perinci syarat baharu dengan PN

Muhyiddin minta Umno perinci syarat baharu dengan PN

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Umno memperincikan syarat baharu kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata permintaan itu dinyatakan Muhyiddin dalam surat kepada Umno yang dihantar melalui Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Permintaan tersebut adalah susulan sesi sidang video antara Perdana Menteri dan saya selaku Setiausaha Agung Umno serta Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada petang Rabu lalu.

“Pada sesi berkenaan, sebahagian yang dibincangkan merupakan perkara berkaitan syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, ia bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis berdasarkan keputusan Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno pada Selasa lalu.

Selain itu, ketika mengulas mengenai apakah syarat baru itu merupakan satu ‘ugutan politik’, Ahmad berkata:

“Saya hanya mengemukakan fakta bahawa Barisan Nasional (BN) ada nombor yang menunjukkan jumlah Ahli Parlimen terbanyak iaitu 59 kerusi.

“Syarat baharu dibuat selepas Umno meneliti perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana perlu ada perjanjian bertulis,” katanya.

Dalam pada itu, hari ini, Ahmad menyatakan Umno tidak berhasrat untuk memfailkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kata beliau, usul undi tidak percaya yang dibawakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah adalah tindakan peribadi dan Umno tidak terbabit. -Malaysiapost