PKPB: Persiapan pasukan berpusat di Lembah Klang terjejas

PKPB: Persiapan pasukan berpusat di Lembah Klang terjejas

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya menjejaskan persiapan pasukan yang berpusat di Lembah Klang.

Pasukan seperti Kuala Lumpur dan UiTM FC mengakui sukar untuk memastikan tahap kecergasan mereka lebih bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, berkata beliau bimbang tanpa latihan sepanjang tempoh PKPB itu akan menjejaskan momentum barisan pemain.

“Ikutkan jika pemain-pemain tidak berlatih sehari pun, tahap kecergasan mereka boleh menurun… inikan pula dalam tempoh dua minggu. Saya berharap MFL dapat melihat kembali perkara ini.

“Jadi kami minta jasa baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk mempertimbangkan dalam tempoh PKPB ini sahaja membenarkan pemain-pemain Kuala Lumpur turun berlatih,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Sementara itu, Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad, menyifatkan perlaksanaan PKPB ini memberi kelebihan kepada pasukan dari luar Lembah Klang kerana mereka sempat melakukan persiapan rapi dan mengadakan perlawanan persahabatan selama dua minggu.

“Pada saya bukan hanya UiTM FC sahaja yang akan terjejas tetapi juga pasukan Lembah Klang lain seperti Selangor, PJ City dan Kuala Lumpur turut sama terkesan apabila tidak dapat menjalani latihan sebagai persediaan bagi saingan Piala Malaysia.

“Tanpa latihan sepanjang tempoh dua minggu sepanjang PKPB ini sahaja sudah cukup menjejas tahap kecergasan pemain-pemain tambahan pula saingan Piala Malaysia dijadualkan bermula pada 6, 7 dan 8 November.

“Pada saya ini tidak adil untuk pasukan Lembah Klang dan memberi kelebihan yang nyata kepada pasukan luar Lembah Klang yang boleh menjalani latihan,” katanya. -Malaysiapost