Shuib syukur ‘Dol’ dikembalikan

Shuib syukur ‘Dol’ dikembalikan

“YA memang kereta yang tular tempoh hari milik saya. Alhamdulillah kereta itu sudah dikembalikan,” kata pelawak Shuib mengenai dakwaan keretanya disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan tular foto berpuluh kereta mewah yang disita SPRM bagi membantu siasatan sindiket Macau Scam dan ada antaranya dikatakan sama seperti kereta milik Shuib.

Suami kepada penyanyi Siti Sarah itu berkata, sudah menjadi kewajipannya untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya tahu pelbagai fitnah yang bertebaran di laman sosial buat masa ini, namun perlu saya hormati pihak berkuasa yang masih menjalankan siasatan.

“Tiada komen lain yang ingin saya kongsi selain mahu memberi fokus buat kerjaya dan perniagaan saya kini,” katanya seperti dilapor Utusan.

Sementara itu mengenai tindakannya memuat naik gambar bersama kereta itu di Instagram, Shuib berkata tujuannya berkongsikan gambar berkenaan adalah untuk meluahkan rasa syukur selepas berdepan dugaan.

“Bukan mahu riak, tetapi jelas menunjukkan betapa saya dan isteri sangat bersyukur dapat melalui dugaan ini bersama.

“Banyak yang saya belajar sebenarnya, bagaimana satu gambar juga mampu menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya .

Sebelum ini, Shuib menjadi perhatian ramai apabila dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.-Malaysiapost