Valentino Rossi positif Covid-19

Valentino Rossi positif Covid-19

JUARA dunia sembilan kali perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP), Valentino Rossi mengesahkan dirinya positif Covid-19.

Beliau berkata, dia diuji positif Covid-19 dan akan terlepas Grand Prix Aragon hujung minggu ini.

Pelumba kelahiran Itali itu berkata, dia juga akan terlepas Grand Prix Teruel di litar sama di Sepanyol minggu depan.

“Pagi ini saya bangun dan rasa tidak sihat. Tulang-tulang saya sakit dan alami demam, jadi saya memanggil doktor yang lakukan ujian saringan kepada saya sebanyak dua kali.

“Keputusan ujian pantas PCR adalah negatif, sama seperti ujian saya yang dilakukan pada Selasa lepas.

“Tetapi ujian kedua, keputusannya dihantar kepada saya pada jam 4 petang hari ini (semalam), malangnya positif.

“Saya kecewa kerana terlepas perlumbaan di Aragon,” katanya.

Dalam musim terakhir, Rossi bersama pasukan Yamaha, mengharungi kesukaran apabila mengalami tiga kemalangan berturut-turut dan meletakkannya di tangga ke-13 kejuaraan dunia.

Pada 26 September lalu, Rossi mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi perlumbaan MotoGP musim 2021.

Pelumba yang dikenali dengan jolokan ‘The Doctor’ itu kekal menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 untuk tempoh sembilan musim berturut-turut tahun depan. -Malaysiapost