Awie “budak ajaib” wira Kuala Besut

Awie “budak ajaib” wira Kuala Besut

NAMA Mohamad Najmi Daud kini popular di Besut selepas kejayaannya menemukan mangsa lemas di dasar sungai berhampiran jeti kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, 9 Oktober lalul.

Memetik laporan Bernama, sikap berani dan keprihatinan lelaki kurang upaya (OKU) dikenali dengan panggilan Awie, 31, kini mendapat perhatian ramai dan menjadi sebutan selepas berjaya mengesan mayat, Azman Che Mat, 45, kira-kira 10 minit selepas dia menyelam, walaupun keadaan arus sungai laju dan air keruh ketika itu.

“Setakat ini dua mayat mangsa lemas telah saya temukan termasuk kejadian Jumaat lepas manakala kali pertama kira-kira dua tahun lalu membabitkan mayat seorang kanak-kanak,” katanya yang bekerja mengambil upah mengangkat barang.

Atas usaha dan keberaniannya itu, Ketua Balai Polis Daerah Besut memberi surat penghargaan dan sumbangan kepada wira penduduk pekan nelayan itu pada 11 Oktober, selain menerima lesen motosikal percuma dihadiahkan pengusaha sekolah.

Anak jati Kampung Timor, Kuala Besut itu telah lama dikenali penduduk setempat kerana kebolehan luar biasa menyelam dalam tempoh beberapa minit tanpa memakai alat bantuan pernafasan atau kaca mata selam.

Mohamad Najmi yang mengalami kecacatan di mata sebelah kanan sejak lahir berkata orang ramai termasuk pelancong sering meminta bantuannya mencari barangan berharga mereka yang tenggelam di dasar sungai sedalam kira-kira tiga meter berhampiran terminal pelancong ke Pulau Perhentian.

“Antara barang berharga yang sering terjatuh seperti barang kemas, telefon bimbit, spanar dan kunci kereta serta batu permata,” katanya.

Mohamad Najmi yang masih bujang berkata antara cabaran dihadapinya ketika menyelam seperti keadaan air sungai keruh, lambakan sampah di dasar sungai, arus sungai laju dan risiko disengat spesies air berbisa.

Rakannya, Mohd Zulhibri Ibrahim, 37, berkata penduduk menggelar Mohamad Najmi sebagai ‘budak ajaib’ kerana kemampuannya mengesan barang di dasar sungai meskipun telah dicari ramai penyelam lain.

“Dia seperti ada kelebihan luar biasa kerana benda sekecil kacang pun dia mampu menemuinya walaupun berada di celah-celah sisa kayu-kayan yang berada di dalam sungai,” katanya. – Malaysiapost