Bukit Aman sahkan turut ambil keterangan Anwar berkaitan tuduhan kes liwat

Bukit Aman sahkan turut ambil keterangan Anwar berkaitan tuduhan kes liwat

Nurul Huda Abhar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kes liwat dan akuan bersumpah (SD) oleh Aidil Azim Abu Adam antara yang disiasat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia sekali gus mengesahkan PDRM bukan sahaja mengambil keterangan Presiden PKR itu berkaitan penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen dalam portal MH Daily.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan berkata, selain dua isu tersebut, pihaknya turut merekodkan percakapan Anwar berkaitan empat isu lain.

Katanya, empat isu tersebut ialah kenyataan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh atas kekurangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat juga diambil.

Selain itu, mengenai video ucapan mendakwa kedai judi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dakwaan terdapat 6.7 juta warga asing berada dalam Malaysia serta sidang media penyerahan dokumen sahih kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika hadir ke Bukit Aman, DSAI (Anwar) ditemani peguam, Ramkarpal Singh Deo dan Setiausaha Politik beliau, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Siasatan dijalankan secara profesional tanpa menerima sebarang tekanan politik atau arahan daripada mana-mana pihak.

“PDRM menggesa semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada polis agar dapat menjalankan siasatan secara telus dan adil. Tindakan tegas bakal diambil kepada mereka yang sengaja memggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Semalam, Anwar hadir ke Bukit Aman bagi diambil keterangan berhubung siasatan kes penularan dokumen sokongan 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya menubuhkan kerajaan baharu.

Ketua Pembangkang itu kemudian mendakwa terdapat rencana politik yang menekannya dengan siasatan turut membabitkan isu liwat.

Presiden PKR itu mendakwa dia disoal berkaitan kes liwat dalam siasatan polis di Bukit Aman, semalam. – Malaysiapost