Covid-19: Malaysia rekod kes tertinggi, hampiri 20,000 kes

Covid-19: Malaysia rekod kes tertinggi, hampiri 20,000 kes

Muhammad Mustakim Ramli

KES baharu Covid-19 di Malaysia merekodkan kes tertinggi sejak wabak itu melanda negara apabila sebanyak 869 kes baharu dicatatkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia kini 19,627 kes.

“Sabah terus mencatatkan bilangan tertinggi apabila 451 kes positif Covid-19 dikesan di negeri itu hari ini, di mana 234 membabitkan saringan kontak rapat selain dua kes dari kluster baharu (kluster Teduh).

“Diikuti Pulau Pinang dengan 189 kes; Selangor 159 kes; Kedah (38); Kuala Lumpur (15); Sarawak dan Perak (4); Terengganu (3); Johor dan Putrajaya (2) dan Melaka serta Negeri Sembilan (1),” katanya hari ini.

Beliau berkata kesemua 869 kes hari ini adalah penularan tempatan.

“Sebanyak 302 pesakit sembuh direkodkan hari ini, di mana jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 12,561 kes.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat empat kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan kesemuanya dari Sabah. Setakat ini, seramai 180 kes kematian Covid-19 telah dilaporkan di negara ini,” katanya. – Malaysiapost