Cuepacs minta gaji naik, bonus bulanan

Cuepacs minta gaji naik, bonus bulanan

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menaikkan gaji dan pemberian bonus secara bulanan kepada kakitangan awam dalam pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, permohonan itu berdasarkan situasi semasa negara dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ketika ini harga barangan dan perkhidmatan asas lain seperti makanan, minuman, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan komunikasi telah menunjukkan sedikit peningkatan.

“Ini bermakna gaji juga perlu dinaikkan selaras dengan peningkatan kos keperluan asas ini khususnya untuk seluruh penjawat awam dan mereka yang berada di luar sana,” katanya seperti dilapor Bernama TV.

Beliau berharap kerajaan mengumumkan bonus dalam bentuk gaji bulanan kepada penjawat awam, bukan bantuan khas kewangan sepertimana sebelumnya, sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

“Kali terakhir penjawat awam menerima bonus tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu penjawat awam tidak lagi menerimanya.

“Bantuan khas kewangan yang diterima sebelum ini ialah RM500 menjelang perayaan dan RM500 bagi pembukaan sesi persekolahan awal tahun,” katanya. – Malaysiapost