Dari telefon ke pentas filem

Dari telefon ke pentas filem

BERMULA dengan merekod video menerusi telefon, kini mempunyai filem sendiri.

Syahmi Sazli tidak asing lagi dalam kalangan pelayar YouTube dalam menyampaikan cerita rakyat dalam genre lawaknya tersendiri seperti drama Lawak Spontan.

Kini, YouTuber terkenal itu dilihat berjaya mengembangkan sayap dalam bidang pengarahan.

Perkara tersebut dibuktikan apabila dia kini bergelar pengarah dan menerbitkan filem sulungnya berjudul Mael Totey The Movie.

Filem tersebut bakal ditayangkan di Astro First pada 22 Oktober ini, sekali gus membuatkan peminatnya semakin mengagumi bakat beliau.

Berita tersebut dikongsikan menerusi laman Instagram dan Facebook rasminya.

Syahmi juga memuat naik beberapa video trailer filem dan poster rasmi filem yang bakal ditayangkan itu.

Semasa awal perancangan pembikinan filem tersebut, Syahmi mendapat sokongan dan kata-kata semangat daripada orang ramai termasuk mereka yang berada dalam industri perfileman seperti Profesor Dr A Razak Mohaideen.

“Alhamdulillah. Tiada kata yang mampu saya ucapkan selain bersyukur kepada Allah. Dengan rasminya, inilah filem pertama arahan saya.

“Tak sangka tahun 2016 dulu saya buat video guna telefon sahaja dan kini saya berjaya arahkan sebuah filem pula,” katanya.

Cukup menghiburkan peminat dengan lawak-lawak spontan yang ditunjukkan dalam karyanya, ternyata orang ramai kini dilihat semakin tidak sabar untuk menonton filem yang menggunakan dialek Kelantan. – Malaysiapost