EPL: Liverpool, Everton sama ‘liat’

EPL: Liverpool, Everton sama ‘liat’

PENYANDANG juara, Liverpool sekadar seri 2-2 menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park, sebentar tadi.

Dalam perlawanan Derbi Marseyside di antara dua pasukan setempat itu menyaksikan skuad bimbingan Jurgen Klopp terlepas peluang untuk menumpaskan Everton apabila dikecewakan dengan keputusan VAR pada penghujung permainan.

Liverpool tampil garang apabila mendahului perlawanan menerusi Sadio Mane seawal minit ketiga selepas menerima hantaran lintang rendah Andrew Robertson.

Namun, lapan minit kemudian Liverpool terpaksa menerima tamparan apabila tonggak pertahanan mereka, Virgil van Dijk terpaksa dikeluarkan setelah cedera ketika pertembungan dengan penjaga gol tuan rumah Jordan Pickford.

Ketiadaan pemain pertahanan Belanda tersebut segera dimanfaatkan Everton berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 hasil tandukan kencang Michael Keane dari sepakan penjuru yang diambil James Rodriguez.

Liverpool sekali lagi menduhului menerusi Mohamed Salah yang memanfaatkan kesilapan Yerry Mina yang gagal menanduk keluar bola ke tempat selamat.

Namun, penjaring terbanyak EPL buat masa ini, Dominic Calvert-Lewin berjaya menyelamatkan pasukannya dengan menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 10 minit dengan menanduk masuk hantaran lintang Lucas Digne untuk menewaskan penjaga gol Adrian.

Penyerang Brazil, Richarlison diarahkan keluar padang setelah pengadil melayangkan kad merah kepadanya pada minit ke-90 kerana membuat bentesan bahaya terhadap Thiago Alcantara.

Liverpool kemudiannya meraikan jaringan Jordan Henderson pada minit ke-90 perlawanan, namun hampa selepas semakan VAR mendapati Mane yang membuat hantaran kepada kapten Liverpool itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad kendalian Carlo Ancelotti itu terus mendahului carta liga dengan 13 mata, tiga mata di depan Liverpool. – Malaysiapost