Jika surat itu benar, presiden tidak bercakap bagi pihak saya

Jika surat itu benar, presiden tidak bercakap bagi pihak saya

Muhammad Mustakim Ramli

“JIKA surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa presiden parti saya tidak bercakap bagi pihak saya, tegas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian dipercayai susulan surat yang tular hari ini, didakwa daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kandungan surat tersebut antara lain menyatakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada Umno menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menerusi ‘IG Story’ yang dimuat naik di Instagram, Khairy berkata beliau tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Berikutan itu, beliau berharap Ahli Parlimen Umno yang lain turut menyatakan pendirian masing-masing.

“Jadi mari kita lihat siapa yang mempunyai angka,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu.

Sementara itu, nada yang sama disuarakan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga tidak menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Jika surat yang tular hari ini benar, saya tidak pernah dimaklumkan dan ia bukan pendirian saya sebagai ahli Umno.

“Saya mahu nyatakan dengan jelas, saya tidak sokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Saya konsisten,” katanya menerusi Facebook.

Kandungan surat yang didakwa diserahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 11 Oktober itu juga memaklumkan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan surat berkenaan dan menyatakan ia palsu. – Malaysiapost