‘Kenakalan’ politik yang ada, kita perlu PRU segera – Mufti Perlis

‘Kenakalan’ politik yang ada, kita perlu PRU segera – Mufti Perlis

MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu segera diadakan bagi menyelesaikan kemelut serta ‘kenakalan’ politik ketika ini.

Namun, katanya, perlu diadakan dengan syarat tertentu, selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pemimpin politik atau calon perlu dilarang daripada mengadakan kempen secara fizikal seperti ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah dan edaran risalah.

“Kempen hanya diadakan melalui media sosial dan apabila tiba hari mengundi, rakyat menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Jika hal itu berlaku, kos kempen akan dapat dijimatkan. Ia akan memberikan peluang yang lebih setara kepada semua pihak yang bertanding.

“Rakyat juga tidak perlu keluar rumah atau terganggu dengan kedatangan calon ke tempat mereka. Maka, kuranglah permusuhan dan ketegangan terbuka,” katanya menerusi Facebook.

Dr Mohd Asri berkata, dengan kaedah itu ia juga dapat mengurangkan rasuah politik semasa berkempen, selain pilihan raya akan jadi lebih adil untuk semua.

Katanya, dengan langkah itu juga, rakyat akan melihat pilihan raya yang paling bersih dalam memilih kerajaan lebih stabil. – Malaysiapost