KKM terima 4,794 permohonan sukarelawan perangi Covid-19

KKM terima 4,794 permohonan sukarelawan perangi Covid-19

SERAMAI 4,794 individu mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjadi sukarelawan bagi membantu menangani krisis Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya sedang mempergiatkan pembabitan lebih ramai sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

“Bilangan maklum balas diterima daripada pihak yang berminat amat memberangsangkan dengan 4,794 pendaftaran diterima setakat ini dan ia masih dalam proses saringan.

“Pada masa sama, dua NGO menghantar 15 anggota mereka ke Sabah setakat ini. Lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama membantu KKM dalam usaha ini,” katanya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM dari pelbagai kategori dan skim perkhidmatan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu secara dalaman di Sabah dan juga dari negeri lain.

“Lebih ramai anggota akan dihantar nanti dengan 99 petugas akan bertolak ke Sabah minggu ini dan minggu hadapan membabitkan 36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas perubatan.

“KKM juga akan menjalankan lantikan secara kontrak bagi 1,899 petugas kesihatan tertakluk kepada kelulusan agensi pusat yang dimobilisasikan bagi kegunaan di negeri yang memerlukan khususnya di Sabah.

“Pada masa sama, penyumberluaran perkhidmatan perubatan bagi kes bukan Covid-19 juga akan dilakukan.
Jabatan Kesihatan Sabah sudah berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan kepada kes bukan Covid-19 tidak terjejas,” katanya. – Malaysiapost