Lebih 4,000 kesalahan direkodkan sepanjang PKP – KPDNHEP

Lebih 4,000 kesalahan direkodkan sepanjang PKP – KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 4,560 kesalahan mengikut pelbagai akta sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Kesalahan yang direkodkan sehingga semalam itu juga menyaksikan nilai rampasan berjumlah RM60,691,736.

Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak 440,549 premis perniagaan diperiksa dalam tempoh itu yang meliputi kedai runcit, pasar raya, kedai makan, kedai kek dan roti, kedai pakaian, bengkel kenderaan serta lain-lain premis.

“Sebanyak 3,377 kesalahan telah dikompaun sepanjang tempoh PKP ini dengan kutipan berjumlah RM1,495,752,” menurut kenyataan itu.

Kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat mencatat jumlah tertinggi, iaitu 2,431 kes, diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (1,289) serta Akta Kawalan Bekalan 1961 (367).

Menurut kenyataan itu lagi, sejak PKP bermula hingga kini, 12 barang keperluan harian pengguna membabitkan gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka, dipantau secara harian di seluruh negara.

Orang ramai disaran membuat aduan jika ada isu berhubung harga dan bekalan, kepada Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) menerusi talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran. – Malaysiapost