SPRM anggap kecaman warganet “lumrah kehidupan”

SPRM anggap kecaman warganet “lumrah kehidupan”

Nurul Huda Abhar

GARA-gara dikecam mengenai isu dalang Macau Scam yang dapat meloloskan diri, Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) dalam laman sosial Twitternya, SPRM Community menganggap kecaman warganet adalah lumrah bagi kehidupan.

SPRM membuat ulang kicau (re-tweet) kepada ciapan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP Malaysia) yang berkongsi laporan Berita Harian mengenai pantun disiarkan DBP yang menerima kecaman warganet.

“Kena hentam netizen itu lumrah kehidupan. Tak mengapa @DBPMalaysia, you’ll never walk alone,” tulis SPRM Community.

Terdahulu SPRM Community membuat ulang kicau kepada ciapan DBP Malaysia yang membuat sebuah pantun berbaur sindiran tentang isu “lompat pagar”.

“Amboi.. perli kita ke..” tulis SPRM Community, semalam.

Sebelum itu, DBP Malaysia membuat hantaran satu pantun:

“Apa guna melompat pagar
Bila kaki awk tersangkut
Apa guna bercakap besar
Bila janji tidak diikut.”

Menerusi semakan di Facebook, pengacara televisyen, Fedtri Yahya membuat satu hantaran memberitahu SPRM Community telah membalas pantunnya, yang juga mengenai situasi kes suspek Macau Scam.

Fedtri menerusi pantun menulis:

“Dewi malam berbatik lepas
Memegang kitab tercarik indah
Pagar SPRM mampu dilepas
Lintasan hisab bagaimana diredah.”

Hantaran tersebut mendapat lebih 1,000 tanda suka kerana pengikutnya menyatakan SPRM Community bersahaja dalam membalas pantun beliau.

“Makan cili pedas membara
Langsung teguk air segelas
Dunia ini hanya sementara
Akhirat kelas pasti dibalas.” balas SPRM Community.

SPRM Community diwujudkan organinasi tersebut bagi penyebaran maklumat di media sosial berkaitan dengan isu-isu rasuah dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kegiatan rasuah dalam kalangan masyarakat. – Malaysiapost