Safawi tampil kali pertama bersama skuad Portimonense U23

Safawi tampil kali pertama bersama skuad Portimonense U23

PEMAIN sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid tampil kali pertama beraksi bersama skuad Portimonense U23 menentang Sporting Lisbon U23 semalam.

Safawi yang dipinjamkan ke kelab Liga Liga Premier Portugal dari Johor Darul Ta’zim (JDT) memakai jersi bernombor 10 dalam aksi tersebut yang menyaksikan Portimonense U23 tewas 1-3.

Anak kelahiran Terengganu itu berada dalam kesebelasan utama dan beraksi penuh 90 minit.

Menerusi video dimuat naik di laman Facebook ROTP, Safawi beraksi di posisi kegemarannya di sayap kanan dan kelihatan juga berada di bahagian sayap kiri.

Turut kelihatan Safawi dibentes keras pemain pertahanan lawan.

Seperti diketahui umum, Sporting Lisbon adalah pasukan ternama bukan sahaja di Portugal malah Eropah.

Kelab tersebut telah melahirkan ramai pemain bintang antaranya yang paling terkemuka ialah Cristiano Ronaldo.

Malam ini, skuad utama Portimonense akan menentang Maritimo bagi aksi Liga Premier Portugal namun tidak dapat dipastikan sama ada Safawi akan disenaraikan.

Memandangkan dia telah beraksi bersama skuad U23 semalam, kemungkinan besar Safawi tidak diturunkan dalam skuad malam ini. – Malaysiapost