Surat Anwar pula tular

Surat Anwar pula tular

Muhammad Mustakim Ramli

TIDAK sampai beberapa jam tular surat didakwa daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), kini muncul pula surat Presiden PKR, Dartuk Seri Anwar Ibrahim kepada baginda.

Surat bertarikh 12 Oktober itu memaklumkan Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Kandungan surat berkenaan mendakwa Anwar mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen PKR, Umno, Amanah, DAP dan seorang individu dari parti lain yang secara keseluruhannya berjumlah 158 Ahli Parlimen.

Antara lain surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu memohon perkenan baginda agar beliau diberi peluang menjadi Perdana Menteri selaras Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun setakat ini belum ada pengesahan dari PKR sama ada surat yang tersebar itu benar atau palsu.

Terdahulu, tular di media sosial surat didakwa sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 dengan surat itu turut disaksikan dan disokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kandungan surat yang diserahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 11 Oktober itu juga memaklumkan kepada baginda bahawa Ahmad Zahid dan Najib menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan kesahihan surat berkenaan dan mengatakan ia palsu.- Malaysiapost