Surat berniat jahat

Surat berniat jahat

PEJABAT Presiden Umno menegaskan tidak mengeluarkan surat sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata penyebaran surat itu berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya dan Pegawai Pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga ‘letter head‘ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden Umno,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu tular di media sosial surat sokongan didakwa daripada Ahmad Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Surat itu turut disaksikan dan disokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kandungan surat yang diserahkan kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 11 Oktober itu juga memaklumkan kepada baginda bahawa Ahmad Zahid dan Najib menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan surat berkenaan dan menyatakan ia palsu. – Malaysiapost