Umno ada maruah, Bersatu harus ikhlas – Razlan

Umno ada maruah, Bersatu harus ikhlas – Razlan

UMNO juga ada hati, perasaan dan maruah. Tahap kesabaran juga ada hadnya. Biar berkawan ikhlas dan berpolitik bermaruah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno, Datuk Razlan Rafii.

Beliau berkata, Bersatu harus ada sifat ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan Umno kerana parti itu adalah sebuah parti berstruktur.

Katanya, setiap perkara, permasalahan dan pendapat dalam parti selalunya ada saluran untuk bermusyawarah dan berbincang untuk mendapatkan keputusan.

“Ini cara Umno sejak penubuhan. Bukan satu atau dua orang yang berpengaruh membuat keputusan seperti Bersatu.

“Umno juga parti yang sentiasa memegang dan menunaikan janji kerana itu bila janji tidak dikota oleh Bersatu seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Umno marah kerana berhadapan dengan golongan penipu, namun dianggap sahabat dalam ikatan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razlan berkata, atas dasar itu, Umno membuat ketetapan untuk mengkaji semula ikatan politik dengan komponen Perikatan Nasional (PN) agar Umno tidak lagi diperkotak katik atau terdapat agenda tersembunyi yang bakal merugikan parti itu untuk jangka panjang.

“Bersatu pula harus ada rasa hormat dan sempadan antara parti dan Ahli Parlimen. Kamu jaga parti kamu dan sekira ada apa-apa isu berkaitan dengan Umno atau komponen, biarlah parti masing-masing selesaikan masalah mereka.

“Semua Menteri atau Timbalan Menteri yang dilantik menggunakan kapasiti mereka sebagai Ahli Parlimen Umno, mereka semua harus menjawab kepada parti, tidak ada yang istimewa dan tidak ada nakhoda lain atau ketua lain selain Presiden UMNO,” tegasnya.

Beliau berkata, sejak dari awal Barisan Nasional (BN) membuat pendirian hanya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri, bukan menyokong PN sebagai parti.

Katanya, pengumuman pada 9 Mac tidak ada langsung gabungan PN. Yang BN tahu, Ahli Parlimen BN dan PAS memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas dasar untuk menyelamatkan kemelut politik yang dilakukan sendiri oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Selepas kabinet dibentuk dan kerajaan berjalan beberapa bulan, baru ada gerakan untuk menamakan kerajaan PN. Yang mencadangkannya SUA (Setiausaha Agong) Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa Ahli Parlimen Bersatu.

“Mereka bekerja keras merealisasikan PN untuk menyelamatkan kepentingan mereka sendiri, menggunakan pengaruh sebagai kerajaan mengheret PAS untuk menyertai PN,” dakwanya.-Malaysiapost