Zahid jumpa Hadi hampir dua jam

Zahid jumpa Hadi hampir dua jam

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tengah-tengah isu kata dua Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengiringi Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Pertemuan berlangsung selama hampir dua jam penuh dengan turut dihadiri Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi menerusi hantaran di Facebooknya berkata pertemuan itu berlangsung dalam suasana semangat ukhuwwah dan mahabbah. 

“Kedua-dua pimpinan tertinggi ini turut berkongsi citra dan semangat untuk terus memastikan Muafakat Umno-PAS  dipertahan dan diperkasakan. 

“Biarlah apa jua tohmahan dan fitnah yang cuba dilontarkan untuk menggagalkannya, yang pasti Umno-PAS terus kekal muafakat,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, antara kata-kata Abdul Hadi  yang begitu membekas di jiwanya ialah: “Umno dan PAS adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam. Kita kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan Ummah!”

Baru-baru ini, mesyuarat Biro Politik Umno menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan PN jika syarat baharu yang dikemukakan mereka tidak dipertimbangkan.

Pada masa sama, Umno mahu Muafakat Nasional (MN) didaftarkan segera sebagai gabungan politik yang sah.

Dalam reaksi berhubung perkara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata PAS mahu kerajaan PN dipertahankan dan pada masa mengukuhkan MN. – Malaysiapost