Agong yakin kemampuan Muhyiddin, nasihat Ahli Dewan Rakyat beri sokongan Belanjawan 2021

Agong yakin kemampuan Muhyiddin, nasihat Ahli Dewan Rakyat beri sokongan Belanjawan 2021

Muhammad Mustakim Ramli

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan penuh kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru Ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau memaklumkan, Seri Paduka Baginda mengingatkan Ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara dan seluruh rakyat akan menjadi mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini.

“Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

“Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8 pagi ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November, 2020.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan Seri Paduka Baginda agar Belanjawan 2021 ini memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19,” katanya. -Malaysiapost