Belanjawan: MP PKR anggap kenyataan Istana Negara bercanggah perlembagaan

Belanjawan: MP PKR anggap kenyataan Istana Negara bercanggah perlembagaan

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyatakan kegusaran atas kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Menurutnya, kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip raja berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

“Saya ingin menegaskan Ahli-Ahli Parlimen mestilah bebas untuk membuat keputusan di dalam sidang Parlimen termasuk sidang berkenaan Belanjawan 2021 tanpa ada sebarang tekanan atau pengaruh sesiapa (undue influence).

“Ahli-Ahli parlimen yang mengangkat sumpah telah berikrar untuk mempertahan Perlembagaan Persekutuan yang membawa maksud menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Ahli-Ahli Parlimen sama ada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berada di Parlimen atas kelayakannya menjadi Ahli Parlimen di bawah Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kepercayaan wajar diberi kepada Ahli Parlimen untuk menimbang mana yang baik dan mana yang boleh merosakkan negara.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021

Ini demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

“Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa terdekat, amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak,” katanya hari ini. – Malaysiapost