Ismail Sabri disebut-sebut calon TPM

Ismail Sabri disebut-sebut calon TPM

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan pemimpin dari Umno yang kini dalam pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Difahamkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mempertimbangkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk jawatan sama.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa turut disebut-sebut dalam pertimbangan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, sumber memberitahu Malaysiapost, Muhyiddin dikatakan lebih cenderung memilih Ismail Sabri yang kini sudahpun berada dalam Kabinet kerajaan PN sebagai menteri kanan.

“Perdana Menteri mahu Ismail Sabri (sebagai Timbalan Perdana Menteri), tetapi masih menunggu senarai nama diserahkan oleh kepemimpinan Umno,” katanya.

Jumaat lalu, nama Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilapor dibangkitkan dalam mesyuarat khas Kabinet sebagai antara calon Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa Muhyiddin sedia melantik seorang wakil Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri dan terserah kepada parti tersebut mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana masih dibicarakan di mahkamah.

“Tan Sri (Muhyiddin) boleh terima Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan; Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin Hussein yang kini tiada sebarang jawatan dalam parti.

“Sekarang (Muhyiddin) cuma menunggu cadangan Umno, tapi jika mereka bertegas mahukan Zahid, maaflah,” katanya.

Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan.

Daripada jumlah itu, dua dari Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Radzi Jidin serta Datuk Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak selain Ismail Sabri.
Sebelum ini, Umno meletakkan syarat baharu kepada PN untuk terus menyokong kerajaan sedia ada dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dipercayai antara dibincangkan.

Kelmarin, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk terus mendokong kerajaan PN dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost