Saya tak pernah berusaha jadi TPM – Hishammuddin

Saya tak pernah berusaha jadi TPM – Hishammuddin

Fitri Nizam

Apa juga pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti, kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Itu sebagai reaksi berhubung artikel yang mengaitkan beliau sebagai seorang daripada calon Timbalan Perdana Menteri daripada Umno.

Menteri Luar itu berkata, beliau tidak pernah berusaha ke arah itu, malah berterima kasih kepada parti kerana menyokongnya mewakili Umno sebagai menteri dalam kerajaan hari ini.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus kerajaan dan Umno sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pendirian ini selari dengan kenyataan media Presiden Umno dan keputusan Majlis Tertinggi tempoh hari.

“Keputusannya adalah menyahut seruan Baginda Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak berhenti berpolitik seterusnya bersatu memerangi Covid-19.

“Apa jua pendirian dan keputusan adalah demi kepentingan parti – dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Semalam, memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia melantik seorang wakil Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri dan terserah kepada parti tersebut mengemukakan calon.

Antara yang didakwa dalam pertimbangan ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Hishammuddin. – Malaysiapost