Umno bincang calon TPM malam ini

Umno bincang calon TPM malam ini

CALON Timbalan Perdana Menteri daripada Umno dijangka diketahui malam ini apabila kepimpinan parti itu dijadual bermesyuarat bagi memutuskan perkara tersebut.

Setakat ini, tiga nama disebut-sebut bakal dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum hanya satu nama akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sumber Umno yang dihubungi Malaysiapost mengesahkan mengenai mesyuarat tersebut yang akan diadakan di Ibu Pejabat Umno di Menara Dato Onn di ibu negara, malam ini.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan mengenai syarat-syarat baharu Umno untuk terus kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti diputuskan Mesyuarat Biro Politik Umno, baru-baru ini.

“Kepimpinan parti akan memutuskan siapa calon daripada Umno untuk pertimbangan Perdana Menteri bagi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Sumber itu menambah, Mohamad dan Ismail Sabri dijangka akan mendapat lebih banyak sokongan berbanding Hishammuddin.

Antara lain, katanya, Hishammuddin tiada jawatan dalam Umno ketika ini.

Semalam, Malaysiapost melaporkan Ismail Sabri Yaakob dikatakan pemimpin dari Umno yang kini dalam pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sumber memberitahu, Muhyiddin dikatakan lebih cenderung memilih Ismail Sabri yang kini sudahpun berada dalam Kabinet kerajaan PN sebagai menteri kanan, namun masih menunggu nama diserahkan Umno.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa turut disebut-sebut dalam pertimbangan.

Kelmarin, memetik sumber yang tidak didedahkan, akhbar Sin Chew Daily mendakwa Muhyiddin sedia melantik seorang wakil Umno sebagai Timbalan Perdana Menteri dan terserah kepada parti tersebut mengemukakan calon.

Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan.

Daripada jumlah itu, dua dari Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Radzi Jidin serta Datuk Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak selain Ismail Sabri.
Sebelum ini, Umno meletakkan syarat baharu kepada PN untuk terus menyokong kerajaan sedia ada dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dipercayai antara dibincangkan.

Isnin lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk terus mendokong kerajaan PN dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost