376 institusi pendidikan di JB tutup – KPM

376 institusi pendidikan di JB tutup – KPM

SEMUA 376 institusi pendidikan dalam zon merah di sekitar daerah Johor Bahru akan ditutup bermula Ahad ini, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Menerusi kenyataan kepada media hari ini, KPM berkata, institusi yang ditutup itu melibatkan sekolah rendah dan menengah yang berdaftar dengan kementerian.

“Senarai akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan dimuat naik di portal www.moe.gov.my dan melalui platform media sosial rasmi KPM,” katanya.

KPM berkata, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang.

Bagaimanapun, mereka yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta yang mahu terus kekal berada di asrama sekolah berkenaan sepanjang penutupan ini akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum mereka akan disediakan pihak institusi terbabit,” katanya.

KPM memaklumkan, pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti dijadualkan sepanjang penutupan perlu mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan itu.

Katanya, sepanjang penutupan itu, pentadbir sekolah dan institusi diarahkan untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, melalui manual yang boleh dimuat turun di portal rasmi KPM.

“KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara dan akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebarang makluman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. – Malaysiapost