Calon TPM: Nama Hishammuddin tersisih?

Calon TPM: Nama Hishammuddin tersisih?

NAMA Datuk Seri Hishammuddin Hussein dikatakan tersisih daripada senarai calon Umno untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Menurut sumber yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, ia berikutan Menteri Luar itu sendiri yang memaklumkan beliau tidak pernah berusaha untuk menjadi orang nombor dua kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, soal calon Timbalan Perdana Menteri daripada Umno turut dibincangkan dalam mesyuarat khas MT Umno malam tadi.

“Ya mesyuarat malam tadi membincangkan juga soal jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun Hishammuddin tidak hadir kerana beliau bukan Ahli MT Umno,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, Muhyiddin kini hanya perlu memilih antara Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disebut-sebut calon utama untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Semalam, Hishammuddin menerusi kenyataan berkata beliau tidak pernah berusaha untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, malah berterima kasih kepada parti kerana menyokongnya mewakili Umno sebagai menteri dalam kerajaan hari ini.

“Saya percaya, perkara terpenting yang menjadi fokus kerajaan dan Umno sekarang ialah sidang Parlimen, Belanjawan 2021 dan mengurus krisis Covid-19, bukan soal jawatan,” katanya.

Kelmarin, memetik sumber yang tidak didedahkan, Sin Chew Daily mendakwa Perdana Menteri sedia melantik seorang wakil Umno sebagai timbalannya dan terserah kepada parti tersebut mengemukakan calon.

Selepas dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu, Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan.

Daripada jumlah itu, dua dari Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Radzi Jidin serta Datuk Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak selain Ismail Sabri.

Sebelum ini, Umno meletakkan syarat baharu kepada PN untuk terus menyokong kerajaan sedia ada dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dipercayai antara dibincangkan.

Isnin lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan untuk terus mendokong kerajaan PN dalam usaha mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost