PM akui sukar benarkan pengeluaran akaun 1 KWSP

PM akui sukar benarkan pengeluaran akaun 1 KWSP

PERDANA Menteri mengakui sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan wabak berkenaan.

“Saya nak beritahu sukar untuk kita menimbangkan perkara berkenaan (benarkan pengeluaran wang akaun 1 KWSP), bukan kerana kerajaan tidak mahu.

“Memang ramai yang teks saya berkata “tolonglah Tan Sri, kami susah”. Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya seperti dilapor BH.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta sekali lagi kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang akaun 1 bagi kegunaan rakyat yang terjejas kehidupannya akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan boleh membenarkan pengeluaran duit dengan mengehadkan pengeluaran secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun itu.

“Mungkin boleh pertimbangkan untuk pencarum keluarkan duit sekarang pada masa paling terdesak dan membenarkan serta menggalakkan pencarum ‘top-up’ (tambah) semula pada masa depan apabila keadaan ekonomi pulih.

“Kerajaan juga boleh memastikan KWSP diberikan peluang dengan pelbagai projek yang menjana keuntungan besar pada masa hadapan bagi memberi pulangan lebih besar kepada pencarum demi memulihkan semula baki akaun KWSP,” katanya menerusi Facebook, hari ini. – Malaysiapost