Terima kasih frontliners, anda wira negara – PM

Terima kasih frontliners, anda wira negara – PM

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga melihat kerjasama kukuh pelbagai agensi dalam negara serta komitmen mereka yang berterusan dalam misi memerangi wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata, beliau turut merasa sangat insaf melihat pengorbanan wira-wira negara yang tanpa henti berkorban masa dan tenaga untuk memerangi Covid-19.

“Mereka ini berjuang ‘di perbatasan’ meninggalkan keluarga dan insan tersayang demi tekad untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada virus yang telah meragut banyak nyawa. 

“Pengorbanan anda semua tidak ternilai harganya. Terima kasih Frontliners (petugas barisan hadapan). Anda adalah wira negara dan kami sangat berbangga dengan anda semua,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini, seperti dilapor Bernama.

Awal pagi tadi, Muhyiddin meninjau persiapan penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik COVID-19 ke Sabah dan Sarawak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Subang.-Malaysiapost