Pengeluaran Akaun 1 KWSP: Pemuda Umno minta kerajaan pertimbang semula

Pengeluaran Akaun 1 KWSP: Pemuda Umno minta kerajaan pertimbang semula

PEMUDA Umno berharap Perdana Menteri mempertimbangkan semula harapan rakyat untuk mengeluarkan simpanan dan caruman dalam Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap Perdana Menteri membenarkan pengeluaran sekurang-kurangnya RM5,000 dari Akaun 1 KWSP dan boleh ditetapkan had pada RM10,000.

“Hakikatnya, rata-rata rakyat merintih dan menyampaikan keluhan dan keresahan mereka betapa perit dan sempitnya kehidupan di tengah-tengah Covid-19 yang memberi kesan langsung terhadap kelangsungan hidup ketika ini.

“Justeru, Pemuda UMNO akan sampaikan secara rasmi harapan rakyat kepada Menteri Kewangan dalam masa terdekat.

“Cadangan kami berikan kelonggaran pengeluaran hanya ketika rakyat dihimpit kesusahan ketika ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata pengeluaran juga boleh dibenarkan secara beransur-ansur dan tidak sekali gus.

“Apabila situasi kembali pulih, pencarum boleh kembali digalakkan untuk menambah semula caruman mereka,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

“Memang ramai yang teks saya berkata “tolonglah Tan Sri, kami susah”. Sekarang pun tanpa mengeluarkan simpanan itu, kita sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.

“Jika kerajaan benarkan perkara itu dilaksanakan dengan mengeluarkan segala simpanan KWSP yang masih berbaki, saudara (pencarum) akan hadapi masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost