Turki, Greece bergegar, sekurang-kurangnya 8 disahkan maut

Turki, Greece bergegar, sekurang-kurangnya 8 disahkan maut

TURKI dan Greece dilanda gempa bermagnitud 7.0 semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang, bangunan runtuh dan menyebabkan tsunami kecil yang membanjiri jalan raya berdekatan pantai.

Serpihan runtuhan dan barangan kelihatan dibawa arus air laut yang melimpah di jalan raya dekat Izmir, Turki di mana sekurang-kurangnya enam bangunan musnah manakala rakaman menunjukkan orang ramai naik ke atas runtuhan bangunan.

Agensi bencana Turki mengatakan sekurang-kurangnya enam orang maut dan 202 cedera dalam gempa itu, sementara dua remaja terbunuh di Greece ketika tembok bangunan runtuh di pulau Samos.

Tsunami kecil juga melanda Samos di mana penduduk pulau diingatkan menjauhi pantai setelah ada yang meninggalkan rumah mereka kerana gempa, yang turut dirasai di Athens dan Albania, Macedonia Utara dan Bulgaria.

Presiden Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki mengatakan, gempa bumi itu berpusat di Aegean pada kedalaman 10.3 batu.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu mengatakan enam bangunan runtuh di dua bahagian di Izmir, sementara Datuk Bandar Tunc Soyer mengatakan hampir 20 bangunan telah runtuh di wilayah itu.

Daripada enam kematian yang disahkan, satu lemas akibat paras air meningkat manakala yang lain akibat terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Gambar dari zon bencana Turki menunjukkan debu kelihatan di kota Izmir, serpihan dihanyutkan arus.

Terdapat 38 ambulans, dua helikopter ambulans dan 35 pasukan penyelamat perubatan menjalankan operasi kecemasan dan menyelamatkan di Izmir.

Rakaman televisyen pula menunjukkan polis menggunakan gergaji ketika mereka berusaha untuk melalui kawasan runtuhan.

Media tempatan melaporkan 70 orang telah diselamatkan dari sisa runtuhan.