Menjawab isu bertabarruk pada lakaran Capal

Menjawab isu bertabarruk pada lakaran Capal

Dr Luqman Haji Abdullah

Isu ini hendaklah dilihat dalam konteks perbincangan para ulama dalam isu tabarruk. Perbahasan isu tabarruk adalah sangat panjang, cuma memadai untuk disebut di sini bahawa hukum secara umum berkaitan tabaruk (mengambil keberkatan) dengan athar para Anbiya, auliya dan para solihin ketika hidup mahupun ketika telah wafat, sebahagian besar ulama mazhab yang empat telah bersepakat akan keharusannya. Antara contoh-contoh  tabarruk yang ada disebut dalam perbincangan tabarruk ialah:

Rasulullah SAW sendiri apabila mencukur rambutnya ketika haji Wada’ (haji terakhir Baginda SAW) baginda memberikan rambut Baginda SAW pada seorang sahabat dan Baginda SAW memerintahkan agar diagih-agihkan kepada sahabat lain.

Saidina Umar Radiyallahu Anhu memegang mimbar Nabi SAW sebelum beliau berdoa lalu mengusapkan pada wajahnya.

Saidatina Asma’ Radiyallahu Anha mengeluarkan baju Qamis Baginda SAW untuk digunakan sebagai ubat, dicelupkan jubah Baginda ke dalam air dan diberikan minum kepada orang-orang sakit dan tidak ada seorang pun sahabat yang mengingkarinya.

Para sahabat berlumba-lumba untuk mengambil air ludah dan bekas wuduk nabi SAW lalu menyapukan pada bahagian jasad mereka.

Begitu juga bertabarruk dengan menggunakan air zamzam.

Imam Sabit al Bunani Rahimahullahu Taala mencium tangan Saidina Anas bin Malik, lalu diletakkan pada wajahnya dan berkata aku telah menyentuh tangan yang telah disentuh oleh Rasulullah SAW.

Imam Al Nawawi Rahimahullahu Taala pada syarah sohih muslim 14/44 berkaitan Hadis para sahabat bertabarruk dengan wuduk Nabi SAW.

  “ففيه التبرك بآثار الصالحين واستعمال فضل طهورهم وطعامهم وشرابهم ولباسهم.”

Maksudnya: Padanya bab bertabarruk pada athar orang-orang solih dan menggunakan lebihan bersuci, makanan, minuman dan pakaian mereka.

Pelbagai lagi contoh-contoh yang terdapat dalam athar dan perbincangan para ulama. Hakikatnya, ini semua dilakukan kerana kecintaan mereka kepada RasulNya yang menatijahkan tindakan dalam bentuk tabarruk dan tidak lebih daripada itu.

Ini adalah sebahagian dari catatan para ulama yang merujuk kepada amalan bertabarruk. Pada asasnya ia memang telah diamalkan tetapi dengan penuh keyakinan dan kepercayaan dengan beriktikad bahawa hanyalah Allah SWT jua yang mampu untuk memberi manfaat, mudharat dan yang memberi bekas.  

Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-An’am: 17)

وَمَا هُم بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلَا يَنفَعُهُمْ

Maksudnya: Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT.

(Surah Al Baqarah : juzuk 1:102)

Berkata Imam Abu Abdullah Muhammad Al Sanusi Al Hasani (wafat pada 895H) di dalam Kitab Ummul Al Barahin hlmn 25 sebahagian bait matannya berbunyi:

وَيُؤُخَذُ مِنْهُ أَيْضًا: أَنَّهُ لاَ تَأْثِيرَ لِشَيْءِ مِنَ الْكَائِنَاتِ فِي أَثَر مَّا

Maksudnya: “Dan diambil daripadanya juga bahawa tiada memberi bekas baginya sesuatu daripada segala makhluk daripada barang bekas yang ada ia”.

Berkaitan dengan isu lakaran capal dijadikan sebagai lambang, adakah ia berkaitan dengan akidah? Maka bagi menjawab persoalan ini, terlebih dahulu kita perlu memahami bahawa selama mana perbuatan seseorang muslim itu tidak menyalahi dengan iktikad yang sebenar kita tidak boleh sewenang-wenangnya melemparkan kalimah kufur atau syirik. Para ulama cukup berhati-hati dalam menjatuhkan kufur kepada seseorang muslim. Ia perlu dibuktikan dengan qarinah atau pembuktian yang sebenar-benarnya.

Memetik kata-kata ulama yang perlu dijadikan panduan umum untuk berhadapan dengan saudara seIslam kita antaranya ialah:

Imam Ibnu Hajar Al Haytami rahimahullahu Taala wafat 974H mengatakan di dalam Kitab Tuhfatul Muhtaj 9/88:

 ينبغي للمفتي أن يحتاط في التكفير ما أمكنه لعظيم خطره وغلبة عدم قصده سيما من العوام وما زال أئمتنا على ذلك قديما وحديثا اهـ

Maksudnya: Seharusnya bagi seorang mufti berhati-hati didalam menghukum kekafiran pada seseorang selama mana yang ia mampu kerana bahayanya sangat besar dan takut menghukum yang tidak bermaksud sedemikian itu terutama melibatkan orang awam, maka senantiasa ulama kami yang dahulu dan sekarang berpegang dengan itu.

Berkata Imam Ibnu Abidin dalam kitab Raddul Mukhtar syarah Ad Dur Mukhtar 4/ 229-230:

لَا يُفْتَى بِكُفْرِ مُسْلِمٍ أَمْكَنَ حَمْلُ كَلَامِهِ عَلَى مَحْمَلٍ حَسَنٍ أَوْ كَانَ فِي كُفْرِهِ خِلَافٌ، وَلَوْ كَانَ ذَلِكَ رِوَايَةً ضَعِيفَةً] اهـ

Maksudnya: Tidak boleh menghukum kufur seseorang Muslim selagi mana boleh menanggung perkataanya atas sebaik-baik ikhtimal atau padanya kekufurannya itu terdapat makna di sebaliknya, walaupun dengan riwayat yang dhoif.

Berkata juga Imam Mula Ali Qari dalam kitabnya Syarah Al Syifa’ juzuk 2 hlmn 502:

قال علماؤنا: إذا وجد تسعة وتسعون وجهًا تشير إلى تكفير مسلم, ووجه واحد على إبقائه على إسلامه, فينبغي للمفتي والقاضي أن يعملا بذلك الوجه، وهو مستفاد من قوله عليه السلام: ادرءوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم. اهـ

Maksudnya: Berkata ulama kami, apabila terdapat sembilan puluh sembilan (99) wajah yang menunjukkan kepada kekufuran seseorang muslim, dan satu (1) wajah menunjukkan ke atas keIslamannya, maka seharusnya para mufti dan qadhi beramal akan satu wajah yang mengekalkannya di dalam Islam, ini berdasarkan Hadis Nabi SAW “Tolaklah selama mana kamu mampu daripada menjatuhkan hukuman hudud ke atas muslimin”.

Begitulah sikap yang ditunjukkan para ulama dalam menangani perkara antara batasan iman dan kufur.

Maka begitulah juga perkara yang berkaitan dengan lakaran capal Baginda SAW dan apa-apa yang berkait dengan Baginda SAW dan bertabarruk dengannya. Ia bukanlah berasaskan dalil-dalil tertentu dan bukanlah amalan-amalan khas yang dituntut syarak secara khusus dan perbuatan tersebut hanya berpunca dari kasih dan rindu dan ini tidak memerlukan dalil khas untuk mengharuskannya sebagaimana dalam isu-isu tabarruk yang lain yang tidak nas secara khusus sebagaimana contoh-contoh yang diberikan di atas. Ia adalah bersifat individu dan bukannya bersifat umum kepada semua orang.

Apabila perbuatan itu asasnya adab, kasih dan rindu maka sesetengah keadaan kerana ada sedikit persamaan sudah boleh mendatangkan semangat rindu dan kasih maka pada ketika itu cukup untuk perbuatan itu dihukum harus selagimana tidak bertentangan dengan prinsip syarak.

Berpada dan Langkah Penjagaan

Ini hukum asal berkait tabarruk. Pada masa yang sama adalah tidak harus sama sekali  untuk menjadikan keharusan tabarruk ini membuka ruang pula kepada isu lain seperti menjadikan lakaran capal Nabi SAW sebagai bahan untuk meraih keuntungan duniawi yang menimbulkan fitnah kepada orang awam. Isu tabarruk adalah isu individu kerana ia berkait dengan rasa cinta dan kasih dan bukannya umum kepada setiap orang.

Sekiranya dikhuatiri kerosakan boleh berlaku pada orang awam samada dari segi akidah atau hukum fiqh maka ada tuntutan untuk membasminya, maka di sinilah datangnya peranan otoriti agama untuk melaksanakan apa yang sebaiknya dan ini masuk dalam kategori Sadd al Zari’ah (menghalang sesuatu keburukan) dan ini tentunya akan memerlukan kebijaksanaan tertentu dan kaedah yang sesuai tetapi semua perkara itu hendaklah dilakukan tanpa ada elemen penghinaan dan memperolok-olok simbol tersebut yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW .  

Kesilapan yang berlaku ialah apabila neraca ilmiah dalam isu tabarruk sebagaimana yang dihuraikan di atas telah dinafikan sedari awal lalu terus menghukum tabarruk dengan lakaran capal Nabi adalah syirik dan sebagainya dan akhirnya telah melahirkan pula sikap-sikap sinis terhadap apa-apa yang di kaitkan dengan Rasulullah SAW. Tanpa disedari diri Rasulullah SAW yang dicintai telah dijadikan subjek gurauan dan sendaan.

Oleh itu dinasihatkan agar dalam isu tabarruk ini hendaklah dalam ruang lingkup kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW dan berasaskan prinsip-prinsip syarak dan dalam satu sudut lain tidak pula memandang sinis terhadap apa-apa perkara yang berkaitan dengan Rasulullah SAW dan sentiasa menjaga adab kita apabila berbicara berkaitan Baginda SAW. Pada masa yang sama menjadi kewajipan kepada kita untuk  mempertahan dan membela Rasulullah SAW dalam segenap aspek dan keadaan.

 Penulis ialah Mufti Wilayah Persekutuan

*Artikel ini disunting daripada artikel asal yang disiarkan di laman Facebook Mufti Wilayah