Kelantan tangguh kuliah agama di masjid, surau

Kelantan tangguh kuliah agama di masjid, surau

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan agar semua kuliah agama di masjid dan surau di negeri itu termasuk kelas al-Quran ditangguhkan bermula hari ini sehingga 28 November 2020.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu sebagai langkah bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut beliau, perkara itu mendapat perkenan Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan bagi penangguhan kuliah agama di masjid seluruh negeri Kelantan.

“Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan.

“Justeru itu, Maik memutuskan supaya semua kuliah agama sama ada Kuliah Subuh, Kuliah Maghrib, Kuliah Dhuha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, solat fardu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 dikeluarkan Maik sebelum ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan seluruh negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh Allah SWT. – Malaysiapost