9,167 kes positif Covid-19 dikesan melalui aplikasi MySejahtera

9,167 kes positif Covid-19 dikesan melalui aplikasi MySejahtera

SETAKAT 18 November 2020, jumlah keseluruhan kes yang dikenal pasti positif Covid-19 melalui penggunaan aplikasi MySejahtera adalah 9,167 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak dilancarkan kerajaan pada 20 April 2020, MySejahtera banyak membantu KKM dalam mengesan kes positif Covid-19 melalui dua kaedah.

Kaedah pertama, katanya, penilaian kesihatan kendiri pengguna, di mana kes dikesan apabila seseorang itu menilai risiko terhadap Covid-19 mengikut kriteria dalam garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sehingga 18 November, beliau berkata 1,561 kes (3.1 – 6.5 peratus) dikesan dan disahkan positif Covid-19 dengan menggunakan kaedah penilaian kesihatan kendiri.

Bagi kaedah kedua, Dr Noor Hisham berkata, pengesanan kontak rapat melalui semakan data oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dengan pangkalan data MySejahtera.

“Pengguna yang berpotensi sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 akan dikesan melalui aplikasi ini.

“Sehingga 18 November, sebanyak 7,606 kes Covid-19 (15.1 – 37.8 peratus) telah dikesan positif melalui kaedah pengesanan kontak menggunakan MySejahtera,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata, untuk tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada PKD untuk membantu aktiviti lapangan.

Beliau menjelaskan, data tersebut akan dianalisa bersama penemuan siasatan lapangan, seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak.

“Data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In di mana rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.

“Sebagai contoh, untuk Kluster Utama, 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli-belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu.

“Daripada jumlah itu, 1,343 individu dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD, di mana 457 orang disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama,” katanya.

Beliau berkata, ujian persampelan seterusnya mengesahkan 221 kes positif daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat.

“Daripada 236 kes positif bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari sama, 221 kes berjaya dikesan menggunakan MySejahtera iaitu 93 peratus,” katanya

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 18 November juga, MySejahtera telah mencapai 23,953,970 pengguna serta tanggungan yang berdaftar, dan 1,058,853 premis perniagaan berdaftar.

Setakat ini, katanya, MySejahtera merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif daftar masuk ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta sehari.

“Selain itu, ia telah membantu menjawab 523,000 persoalan pengguna. Aplikasi ini telah mendapat penarafan 4.7 bintang dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore,” katanya. – Malaysiapost

Komen