Ayat sebenar adalah ‘bekas’ bukan ‘Pekan’ – Shahidan

Ayat sebenar adalah ‘bekas’ bukan ‘Pekan’ – Shahidan

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan telah menggelar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pengkhianat seperti dilaporkan media semalam.

Menurut beliau, ayat sebenar yang disebut ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam adalah ‘bekas Menteri Kesihatan’ dan bukannya ‘Pekan’ seperti didakwa.

“Saya sebut bekas Menteri Kesihatan bukan Pekan Menteri Kesihatan. Sebutan orang utara ‘bekaih’ (bekas).

“Mereka sudah mainkan cerita konon saya sebut Pekan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Najib menerusi kenyataan di Facebook memberitahu telah terbiasa digelar pembunuh, perompak, penyamun, penyangak, penzina atau penjual negara oleh sesetengah pihak.

Menurut Najib, digelar ‘pengkhianat’ tidak memberi kesan apa-apa kepadanya jika usaha beliau dan rakan-rakan pemimpin yang lain mahu memenuhi kehendak rakyat tercapai.

Beberapa laporan menyebut, Shahidan didakwa berkata bahawa mana-mana Ahli Parlimen termasuk Pekan (Najib) adalah pengkhianat sekiranya tidak menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini. – Malaysiapost

Komen