Covid-19: Jumlah kes kini 52,638

Covid-19: Jumlah kes kini 52,638

Muhammad Mustakim Ramli

BILANGAN kes Covid-19 menurun kembali kepada tiga digit apabila sebanyak 958 kes baharu dilaporkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata angka itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 52,638 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 953 kes adalah penularan dalam negara.

“Tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Sabah iaitu 512 kes diikuti Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing melaporkan sebanyak 153 kes,” katanya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pelaporan kes positif Covid-19 yang tinggi di Sabah berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster, terutama Kluster Sabaru iaitu 149 kes dan peningkatan pengesanan kes dalam kalangan saringan kontak rapat iaitu196 kes.

Sementara itu, beliau memaklumkan sehingga kini, terdapat 110 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kerana pandemik ini di Malaysia adalah sebanyak 329 kes,” katanya. – Malaysiapost

Komen