Covid-19: Zon merah ke Kelantan punca kes meningkat

Covid-19: Zon merah ke Kelantan punca kes meningkat

Muhammad Mustakim Ramli

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui peningkatan kes Covid-19 di Kelantan berpunca daripada kes dari zon merah ke negeri berkenaan.

Beliau berkata terdapat beberapa kluster yang dikenalpasti merebak di negeri itu berasal dari luar Kelantan.

“Jangkitan berlaku di Lembah Klang, Negeri Sembilan tetapi mereka pulang ke Kelantan dan membawa jangkitan berkenaan.

“Apabila mereka pulang mereka menjangkiti ahli keluarga terdekat dan komuniti. Jadi kita bimbang kerana banyak pergerakan berlaku,” katanya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkara yang membimbangkannya adalah Kluster Mengketil, di mana ia merebak cepat hingga terdapat kes membabitkan kluster itu di Besut, Terengganu.

Beliau merayu dan berharap rakyat Kelantan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan keadaan di negeri itu kembali terkawal. – Malaysiapost

Komen