Dana FINAS: Hans Isaac akui silap kaitkan Eizlan Yusof

Dana FINAS: Hans Isaac akui silap kaitkan Eizlan Yusof

DATUK Hans Isaac mengakui membuat kesilapan mengaitkan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd.

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menerusi kenyataan berkata pada 16 November 2020, beliau telah menghantar satu mesej di dalam kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia.

Dalam mesej tersebut, katanya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada tiga syarikat yang telah dipilih untuk menerima Dana Kandungan Digital 2020 daripada FINAS, termasuk Excellent Pictures Sdn Bhd.

“Di dalam mesej tersebut, saya telah membuat kesilapan dengan mengaitkan Datuk Seri Eizlan Yusof dan Excellent Pictures Sdn Bhd. Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf di atas kekhilafan saya.

“Pada hakikatnya, saya telah bersiap sedia untuk merakamkan pembetulan beserta permohonan maaf kepada Datuk Seri Eizlan semalam (kelmarin) sebaik sahaja saya sedar akan kesilapan tersebut.

“Tetapi sebelum sempat saya berbuat demikian, saya dimaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peguam kepada saya,” katanya.

Susulan itu, Hans berkata, beliau telah menghubungi Eizlan melalui peguam untuk mengeluarkan kenyataan pembetulan berhubung dengan kesilapan itu.

“Saya sekali lagi ingin memohon maaf secara terbuka di atas kesilapan yang tidak disengajakan.

“Saya amat berharap agar kita dapat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Semoga kita dapat terus memajukan industri perfileman negara bersama,” katanya.

Kelmarin, Eizlan memaklumkan beliau akan mengambil tindakan saman ke atas Hans, susulan tuduhan yang mengaitkan pembabitannya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan Excellent Pictures Sdn Bhd.

Beliau turut menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas itu yang turut mencemarkan nama, imej dan reputasinya.

“Dakwaan kononnya saya ada penglibatan dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn Bhd tidak berasas.

“Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya. Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak FINAS,” katanya. – Malaysiapost

Komen