Giliran Lee Tuck ucap bye-bye

Giliran Lee Tuck ucap bye-bye

LIGA Malaysia kian panas dengan desas desus perpindahan keluar masuk pemain di akhir musim, terbaru bekas kaptenTerengganu FC (TFC), Lee Tuck pula mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan pantai timur itu.

Menerusi kenyataan yang dimaklumkan dalam laman sosial peribadinya tengah hari tadi, Tuck yang juga pemain berdarah campuran England-Malaysia mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih dan rakan sepasukannya selepas tiga tahun berkelana di Terengganu.

Pemain berusia 32 tahun itu juga bangga bekerjasama dengan keluarga pasukan itu sehingga berjaya menduduki tempat ketiga Liga Super musim ini dan seterusnya layak ke pentas Piala AFC musim depan.

“Saya sedih menyatakan perjalanan bersama pasukan TFC berakhir, saya akan berpisah dengan pasukan itu, mereka ada perancangan baharu untuk musim depan dan saya tidak ada dalam perancangan itu.

“Apapun terima kasih kepada semua, saya dan keluarga selesa tinggal di sini (Terengganu), setiap minit saya sentiasa memberikan yang terbaik, saya juga gembira diberi peluang, semoga TFC terus berjaya,” katanya.

Terdahulu pemain kelahiran Halifax, England itu yang mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada 2017 dengan pasukan Negeri Sembilan menyuarakan impian untuk terus kekal menyarung jersi Skuad Penyu musim depan lebih-lebih lagi bakal bersaing dalam kancah Piala AFC.

Bagaimanapun, hasrat pemain itu dan juga peminat setia Hitam Putih untuk melihat kelibat pemain yang digelar ‘Rooney Ganu’ beraksi bersama skuad itu berkecai.

Malah, hasrat pemain itu untuk menjadi pemain naturalisasi bersama Terengganu pada 2022, selain menyarung jersi pasukan Harimau Malaya juga dilihat semakin berliku.-Malaysiapost

Komen