Komposer irama dangdut, Ruslan Mamat meninggal dunia

Komposer irama dangdut, Ruslan Mamat meninggal dunia

KOMPOSER album era 90-an, Ruslan Mamat meninggal dunia malam tadi akibat masalah jangkitan kuman pada paru-paru.

Isterinya yang mahu dikenali sebagai Rahmah berkata, Allahyarham Ruslan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9 malam di Hospital Serdang selepas mendapatkan rawatan pada 5 November lalu.

Menurutnya, kebelakangan ini kesihatan suaminya agak merosot akibat masalah paru-paru pada Ramadan lalu.

“Sejak bulan puasa lepas lagi dia asyik keluar masuk hospital akibat masalah paru-paru. Keadaan bertambah merosot pada dua minggu lalu dan dirawat di sana sehinggalah menghembuskan nafas terakhir malam tadi,” katanya seperti dilaporkan mStar hari ini.

Rahmat berkata, pihak hospital memaklumkan Allahyarham meninggal dunia dalam tidur semasa mendapatkan rawatan.

Sementara itu, menurut laporan doktor keadaan Allahyarham begitu lemah apabila dia tidak lagi boleh menerima makanan yang diberikan.

Oleh kerana situasi Covid-19 yang melanda negara, tiada ahli keluarga dibenarkan menemani pesakit di hospital.

Katanya, Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Cheras Perdana, Selangor sebelum solat Jumaat.

Allahyarham Ruslan pernah bertugas sebagai wartawan di akhbar Watan, media Hiburan, Fokus SPM dan Bacaria selain bergiat aktif dalam penulisan lirik dan penerbitan sekitar tahun 1990-an.

Beliau menjadi komposer yang banyak menaikkan irama dangdut menggunakan nama pena Nabila.

Antara artis yang pernah berkerjasama dengan Allahyarham termasuk Sheeda, Mas Idayu, Haiza, Amelina, Ifa Raziah, Ani Mayuni dan kumpulan Eva.

Lagu-lagu popular ciptaannya ialah Bulan Cinta (Eva), Sambutlah Kekasih (Love Hunters) Dag Dig Dug (Haiza), Asyik (Amelina) dan Angkat Kaki (Sheeda).

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak berusia 22 hingga 32 tahun serta tiga orang cucu. – Malaysiapost

Komen