Meme nakal warga net iringi kemunculan semula PGL selepas 16 tahun

Meme nakal warga net iringi kemunculan semula PGL selepas 16 tahun

Muhammad Mustakim Ramli

SELEPAS 16 tahun, filem Puteri Gunung Ledang (PGL) ditayangkan semula secara dalam talian selama 10 hari menerusi platform penstriman video EnfinitiV.Asia bermula 13 November lalu.

Kemunculan semula filem epik menelan belanja RM16.6 juta itu diiringi dengan aksi nakal warganet yang membuat ‘meme’ babak Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah.

Penerbit Ekskutif PGL, Puan Sri Tiara Jacquelina menyatakan beliau terhibur dengan meme berkenaan dan menganggap mereka yang menghasilkannya sebagai kreatif.

“Macam tahu je kitorang tengah promosi limited screening filem versi asal kat EnfinitiV.Asia, dengan bonus features babak terpotong lagi.

“Siapa yang kreatif sangat ni, tolonglah angkat tangan, saya nak kredit awak pun tak tahu macam mana. But thank you,” katanya yang turut berkongsi meme berkenaan di Facebook miliknya, hari ini.

Antara meme itu adalah mengaitkan babak Puteri Gunung Ledang di dalam sungai dengan masalah air di Selangor dan babak Hang Tuah mengejar Puteri Gunung Ledang yang berkuda ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, kemunculan semula filem yang ditayangkan pada 2004 itu susulan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat ketika versi Producer’s Cut disiarkan di YouTube pada 10 Oktober lalu.

Tiara memaklumkan lebih menarik lagi, peminat berpeluang menonton versi istimewa membabitkan babak yang disunting dan kisah di sebalik pembikinan filem itu dari 13 November lalu hingga 22 November ini.

“Saya masih menangis menonton PGL. Saya tidak dapat membayangkan selepas 16 tahun filem ini diingati dan menjadi klasik.

“Bagi penggemar filem, pelajar dan pengkritik merujuk PGL sebagai filem yang cukup indah dihasilkan orang kita.

“Sehingga kini, saya bersyukur dengan dedikasi Teong Hin dan semua yang terbabit menjadikan filem itu suatu realiti,” katanya.

Tiara berkata, menonton sedutan di sebalik pembikinan PGL, mengimbas memori lama.

“Bukan mudah menghasilkan filem itu, tapi semua pihak yang terbabit memberikan sehabis baik,” katanya.

PGL pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice pada tahun 2004 dan mencatat sejarah sebagai filem pertama dari Malaysia yang terpilih ke senarai pilihan rasmi tayangan, selain menjadi filem pertama yang telah dihantar untuk Anugerah Akademi tahun 2005 dengan tajuk A Legendary Love serta disenarai pendek antara 50 filem dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.-Malaysiapost

Komen