Rozaimi pulang ke pangkuan skuad Tambadau?

Rozaimi pulang ke pangkuan skuad Tambadau?

BEKAS pemain Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman dijangka kembali ke Sabah apabila mengucapkan selamat tinggal kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), selepas kontraknya tidak diperbaharui.

Berdasarkan khabar angin di media sosial, Rozaimi kemungkinan akan kembali memperkuatkan Sabah dalam saingan Liga Super musim depan namun terdapat juga pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Dikenali antara prospek terbaik yang pernah dihasilkan skuad Tambadau, Rozaimi sangat berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan karier bola sepak.

“Adalah satu kebanggaan dalam karier bola sepak saya apabila dapat bersama dengan kelab terbaik negara iaitu JDT sepanjang lima tahun ini. Ia bukan setakat hanya sebuah kelab tetapi ia adalah satu keluarga besar iaitu keluarga JDT

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘Boss’ saya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) yang meletakkan kepercayaan kepada saya dari dulu lagi.

“Alhamdulillah dengan fasiliti terbaik yang TMJ sediakan di JDT, saya mampu untuk meneruskan karier saya semula. Terima kasih sekali lagi Boss atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan,” katanya di Instagram, hari ini.

JDT menandatangani Rozaimi pada 2016 dari Sabah ketika dia dalam proses pemulihan daripada kecederaan akibat kemalangan jalan raya yang mengemparkan peminat bola sepak tempatan pada Julai 2015. – Malaysiapost

Komen